Setelah mengepos dua artikel tentang Kolej Komuniti Merlimau dan Rumah Penghulu Merlimau, saya akan menulis berhubung dengan Makam Tun Teja. Terletak tidak jauh dari Rumah Penghulu Merlimau, Makam Tun Teja hanya 5 minit memandu dari pekan Merlimau.
Siapakah Tun Teja ? Sejauh yang saya tahu terdapat dua versi catatan berkenaan Tun Teja. Catatan tersebut ialah "Hikayat Hang Tuah" dan "Sejarah Melayu". Tun Teja merupakan anak perempuan Bendahara, Sri Amar Diraja dari Pahang pada abad ke-15. Pada awalnya, Tun Teja ditunang kepada Sultan Pahang tetapi akhirnya bernikah dengan Sultan Melaka, Sultan Mahmud Syah.
Semasa berundur bersama Sultan Mahmud Syah dari serangan Portugis pada tahun 1511, Tun Teja meninggal dunia di Merlimau dalam perjalanan ke Bentayan, Muar. Tun Teja telah dimakamkan di bendang di Merlimau Pantai.